Sunday, November 9, 2014

ANTARA DUA DARJAT



Ahad, 9 November 2014

ANTARA DUA DARJAT: CABARAN PENGAGIHAN KEKAYAAN NEGARA DALAM "THE COLOUR OF INEQUALITY" Oleh Wan Ahmad Fayhsal

LINK HERE

Masyarakat dunia ketika ini sedang berhadapan dengan cabaran yang besar berhubung pengagihan kekayaan. Pertumbuhan ekonomi yang pesat telah melahirkan golongan yang diberi jolokan oleh penganalisis antarabangsa terkenal, David Rothkopf sebagai "superclass" - golongan minoriti tetapi amat kaya dan berpengaruh dalam struktur kekuasaan negara-negara dunia. Mereka menerajui industri dan menghasilkan peluang pekerjaan serta menjana kekayaan peribadi yang luar biasa dalam kadar pertumbuhan yang tidak pernah terlintas separuh abad yang lalu.


Kemakmuran ekonomi ini walaupun membawa dampak positif, ianya tetap dan masih dibayangi oleh masalah pengagihan kekayaan yang masih menjalar hingga ke peringkat akar umbi. Tidak hairanlah gerakan kesedaran ekonomi tumbuh seperti cendawan selepas hujan yang tidak diterajui oleh mana-mana pemimpin seperti "Occupy Wall Street" (Rampas Kembali Wall Street) yang mengakui mewakili golongan "99%" yakni majoriti dalam menuntut hak mereka terhadap golongan "1%" yakni "superclass".

Tidak cukup dengan gerakan massa, terdapat juga gerakan intelektual yang mengarus perdanakan semula wacana pengagihan kekayaan yang kini menjadi buah mulut pemerhati ekonomi seperti buku "Capital in 21st Century" karangan Thomas Pikkety, seorang sarjana Perancis  yang telah membuka mata masyarakat dunia berhubung jurang kekayaan yang semakin melebar dalam sejarah ekonomi, khususnya di Barat.

Walaupun sistem ekonomi kapitalisme dan politik demokrasi liberal menjanjikan semangat kesamarataan (egalitarianism), natijah yang wujud dalam sejarah moden Barat hinggalah saat ini tidak langsung mencerminkan hakikat itu. Sebaliknya Pikkety dengan data-data ekonomi yang padat, telah membuat kesimpulan bahawa pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan yang ada di Barat sepanjang ratusan tahun ini hanya menyajikan habuan berlipat ganda kepada si kaya dan kaum pemodal, dan golongan bawahan dan pekerja hanya mendapat kerak-kerak daripada pertumbuhan ekonomi sahaja.

Arus ini kini telah disambut di Malaysia melalui karya terbaru Dr Muhamed Abdul Khalid bertajuk "The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia" (2014). Beliau yang merupakan ahli ekonomi yang mendapat gelar Kedoktoran daripada Institute detudes Politiques de Paris (SciencesPo) di Perancis ini bukan sahaja mengangkat tema yang sama dengan karya Piketty malah Dr Muhamed, di samping analisa dan olahan data sosio-ekonomi Malaysia secara saintifik, telah berjaya juga membawa semangat dan jalan cerita yang amat penting, yang telah melatari sejarah sosio-ekonomi orang Melayu khususnya, dan juga kaum-kaum lain.

Sering kali persoalan ini gagal dibahaskan secara ilmiah sebaliknya dijaja oleh parti-parti politik sekadar modal politik. Kegagalan untuk meletakkan tajuk ini secara adil agar mampu diterima oleh semua pihak tidak kira bangsa apa pun telah menghantui pelbagai tajuk lain yang berkaitan dengannya khususnya berhubung Hak Keistimewaan Melayu, Dasar Ekonomi Baru sampailah kepada yang terbaru isu hutang PTPTN. Kehadiran karya Dr Muhamed ini seharusnya mampu dijadikan pemandu arah buat pemikir-pemikir ekonomi dan ahli politik untuk meluruskan kembali wacana yang amat penting ini.

Akar masalah yang menjadi teras kepada perbahasan dalam karya ini ialah "keadilan ekonomi" di Malaysia masih belum tercapai. Walaupun dampak positif DEB telah dirasai oleh ramai orang Melayu, jurang pendapatan (income) masih melebar pasca 1990-an dan dapatan Dr Muhamed dalam karya ini adalah lebih menyedihkan bilamana jurang pendapatan warga kota dan desa (yang sudah tentu ramainya Melayu) menyamai dengan jurang pendapatan sama yang wujud ketika negara ini mendapat kemerdekaan daripada British pada 1957.


Kisah di sebalik data

Data-data terkumpul yang disusun atur oleh Dr Muhamed bagi menunjukkan ketidak setaraan peluang dan pemilikan aset oleh golongan Bumiputra juga dapat disahkan kalau mana kita membaca memoir dan biografi tokoh-tokoh Melayu yang hidup sebelum era adanya DEB. Antara yang menarik dapat kita teliti kisah yang dirakam dalam biografi Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang pertama bertajuk "Ainuddin Pejuang 'Degil' Melayu", tulisan Datin Fatini Yaacob.

Antara kisah yang melatari perjuangan beliau sebagai pendidik Melayu di era itu ialah bagaimana anak-anak Melayu dipinggirkan secara sistematik (disenfranchised) dalam sistem pendidikan di Universiti ketika itu. Bukan sahaja yuran belajar yang mahal, pelajar Melayu ketika itu bersaing dalam satu padang yang tidak rata.

Dikisahkan oleh Ainuddin bahawa ketika menjelangnya musim peperiksaan, para pensyarah ketika itu membawa pelajar-pelajar bukan Melayu ke tanah tinggi Bukit Fraser tanpa pengetahuan pelajar Melayu di mana mereka diberi panduan dan tips untuk menjawab kertas peperiksaan bagi mata pelajaran yang diajar oleh pensyarah tersebut. Terdapat juga kes di mana para pensyarah amat tegas dan berusaha mencari kesalahan agar pelajar Melayu gagal mendapat keputusan yang baik ataupun lebih teruk 'digagalkan' secara sistematik.

Begitu juga kisah yang dititipkan oleh Za'ba, Ungku Aziz, dan ini menunjukkan kisah-kisah ini bukanlah sesuatu yang kejadian terpencil (isolated cases) tetapi merupakan hakikat yang pernah berlaku sebelum dasar pengatur caraan semula masyarakat melalui DEB dilaksanakan.

Negara berpendapatan tinggi, makmur?

Menarik sekali kalau ditinjau, apakah usaha kerajaan yang ada kini melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mendapat dokongan dan sokongan Program Transformasi Kerajaan (GTP) benar-benar mengambil kira cabaran dan masalah yang telah digaris lebarkan oleh Dr Muhamed?

Yang sering dilaungkan kepada rakyat tempatan serta dunia ialah Malaysia bakal menjadi sebuah negara maju yang "berpendapatan tinggi" (high income nation). Tetapi melalui kajian Dr Muhamed, masalah sebenar bukan pada isi pendapatan tetapi pemilikan aset atau ekuiti.

Jadi kalaupun "key performance indicators" (KPI) yang digubah oleh PEMANDU berjaya mencapai targetnya, apakah dengan pendapatan tinggi ini secara mudah dapat diterjemahkan kepada hakikat pemilikan aset buat golongan yang terkebawah, khusus dikalangan Melayu dan Bumiputera?

Hal ini merupakan antara pengajaran utama yang dapat dipetik daripada karya Dr Muhamed: perlunya pemimpin Melayu bermuhasabah kerana kegagalan orang Melayu mencapai sasaran yang diletakkan DEB lebih banyak terletak pada bahu pemimpin Melayu yang telah gagal membendung masalah "rent seeking" atau "alibaba" yang sepatutnya membina kemampuan usahawan Melayu tetapi tidak menjadi kerana sekadar menyerahkan peluang tersebut kepada bangsa lain dalam melunaskan kerja-kerja dan kontrak-kontrak yang diperturunkan kerajaan yang pada asalnya untuk membantu menaik taraf kebolehan usahawan Melayu, bukan semata-mata sebagai habuan kekayaan bak bulan jatuh ke riba.

Kesan daripada faham "musharahakah" (model kerjasama) yang tempang ini telah meletakkan golongan usahawan Melayu kini pada tahap yang masih lemah untuk bersaing dengan sihat dengan bangsa lain yang telah lama bersusah payah mempelajari dan memanfaati peluang dalam perusahaan yang disediakan kerajaan.

Sesungguhnya kita perlu berasa risau melihat pertembungan ragam pemikiran dalam persoalan pengagihan kekayaan yang diperdebatkan di ruangan umum negara ketika ini. Sudah ada suara-suara sumbang yang melihat ketirisan yang berlaku dalam DEB sebagai alasan untuk memansuhkan terus segala macam bantuan terhadap orang Melayu dan Bumiputera.

Lebih ditakuti, golongan ini menjadikan agenda kerajaan seperti ETP sebagai landasan untuk menyebarkan dakyah tersebut. Silap hari bulan, takut-takut kalau mana menjadi pun ETP ini, yang kaya bertambah kaya dan yang miskin menjadikurang atau lebih miskin. Berdasarkan kesimpulan awal Dr Muhamed dalam karyanya ini, tampaknya kekhuatiran ini semakin tersembul dan tiada mampu diselindung lagi di balik nombor-nombor dan Powerpoint warna-warni yang zahirnya tampak cantik akan tetapi sekadar fatamorgana di atas kertas.

Dengan kadar kitaran ekonomi dunia yang semakin meruncing akibat pelbagai tekanan geopolitik, perubahan iklim dan masalah kehausan sumber bumi cabaran pengagihan ekonomi di Malaysia semakin mendapat himpitan daripada luar dan dalam. Strategi untuk memberikan aset kepada usahawan bumiputera tanpa ada kefahaman yang jitu berkenaan makna "amanah" dan "tanggungjawab" tidak jauh seperti harapkan pagar, pagar makan padi.

"The Colour of Inequality" menyajikan pesanan tersirat dengan mesej kritis hormat kepada para pembesar negara bahawa dalam kesungguhan untuk menyama ratakan padang permainan ekonomi, pendidikan serta lain-lain bidang demi mencapai taraf negara maju pada tahun 2020 kelak, masalah dan amanah mengurus bantu orang Melayu dalam hal pengagihan kekayaan adalah jihad yang masih tertangguh.


Penulis adalah Felo di Putra Business SchoolMalaysia

No comments:

Post a Comment